Assalamualaikum wbt...
Alhamdulillah sudah masuk 7 Ramadhann1438H. Untuk tahun ni, saya dan suami masih lagi menyambut Ramadhan di Melbourne. Hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk meneruskan perjuangan di sini. Moga-moga tahun depan kami dapat beraya di Malaysia, inshaAllah.
Sebenarnya sekarang ni sedang tunggu untuk usrah sama-sama dengan Tasha. Sementara itu, nak share sedikit tentang ayat al-quran dari surah al qasas,
Dan dia(Musa) masuk ke kota ketika penduduknya sedang isitirehat, maka dia mendapati di dalam kota itu dua orang lelaki sedang berkelahi, yang seorang dari golongannya (Bani Israel) dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya (Kaum Firaun). Orang yang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan orang yang daripada pihak musuhnya, lalu Musa menumbuknya dan matilah musuhnya itu. Dia(Musa) berkata, "Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya dia(syaitan) itu adalah musuh yang jelas menyesatkan." [28:15]
Dia(Musa) berdoa, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku." Maka Dia(Allah) mengampuninya. Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. [28:16]
Kisah Nabi Musa merupakan antara cerita yang paling banyak diceritakan dalam al-quran. Dulu-dulu, apabila disebut Nabi Musa a.s, yang saya dapat bayangkan adalah hanya tongkatnya bertukar menjadi ular. Itu saja lah yang dapat saya bayangkan mukjizat Nabi Musa a.s ni. Apabila kita membaca surah al-qasas ni, Allah menceritakan kisah Nabi Musa a.s sejak di awal kelahirannya lagi sehingga lah Nabi Musa a.s mencapai usia dewasa.
Dalam kedua-dua ayat yang saya kongsikan di atas tu, sebenarnya nak taddabur sedikit mengenai diri kita ni sebagai hamba Allah yang memang kena sentiasa memohon keampunan daripada Allah swt kerana kita tidak akan terlepas untuk melakukan kesalahan. Seperti mana yang berlaku kepada Nabi Musa a.s, setelah dia tersilap dengan menumbuk lelaki itu, Nabi Musa a.s terus berkata "ini adalah perbuatan syaitan", ini menunjukkan perbuatan buruk/kesalahan yang kita lakukan ni adalah daripada tipu daya syaitan. Walaupun niatnya pada mulanya ingin membantu lelaki yang meminta tolong tu tetapi tersilap langkah dengan melakukan kesalahan yang sama. Ini menunjukkan bahawa sebaik mana pon niat kita nak tolong orang, kita tak boleh melakukan dengan cara yang sama musuh kita lakukan.
Seterusnya, Nabi Musa a.s terus berdoa memohon keampunan daripada Allah swt dan Allah menerima keampunannya. Pada pendapat saya, jika kita melaksanakan doa atau taubat kepada Allah, pertama-tama sekali kita mestilah yakin bahawa Allah swt adalah Maha Penerima Taubat dan Maha Mengetahui. Kita kena yakin yang Allah swt akan terima taubat kita, kita tidak boleh rasa ragu-ragu bahawa taubat kita diterima atau tidak. Tipu daya syaitan sangatlah halus dan licik, syaitan akan membisikkan kita bahawa kita tiada harapan lagi jika kita membuat dosa dan kita tidak layak untuk memohon taubat dari Allah swt. Seterusnya kita kena yakin adanya keampunan daripada Allah dan sentiasa berbuat baik dan menjauhi kemungkaran.
Di samping itu, selain kita sentiasa memohon keampunan daripada Allah, marilah sama-sama kita memaafkan orang lain jua. Kadang-kadang, bukan senang untuk kita memaafkan orang lain yang ada terasa hati/berbuat salah dengan kita, namun memberikan kemaafan itu lebih tenang dan mudah untuk kita melakukan ibadah-ibadah yang lain. Teringat kisah Saad bin Abi Waqqas iaitu,
Rasululllah saw sedang duduk bersama-sama sahabat, Rasulullah berkata akan datang seorang pemuda yang adalah penghuni syurga. Semua sahabat ternanti-nanti siapakah sahabat tersebut yang dimaksudkan Rasulullah saw. Maka, masuklah Saad bin Abi Waqqas ke dalam masjid dan dialah pemuda yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw. Abdullah ibn Umair r.a pernah bertanya Saad bin Abi Waqqas, apakah amalanmu sehingga menjanjikan syurga, jawabnya "setiap malam sebelum tidur aku akan memaafkan semua orang dan tiada perasaan benci dalam hatiku ni"
Ahli-ahli syurga juga nanti akan mempunyai hati yang sejahtera (Qalbun Salim). Hati yang sejahtera adalah hati yang suci dan tidak ada sedikit pon sifat-sifat buruk di dalamnya. Oleh itu, jika kita masih lagi merasa benci pada orang itu ini dan sebagainya, layakkah kita untuk memperoleh syurga yang kita impikan itu?
Moga-moga dengan setiap amal kebaikan kita semua ni, Allah mudahkan kita memaafkan orang lain dan memudahkan kita untuk bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada Allah swt,
Till then, InshaAllah.
Take care.

No comments:
Post a Comment